Monday, 11 January 2010

Herald dan penggunaan kalimah 'Allah'

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Mengapa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut Kristian di Malaysia? Kerana:

1. Ini akan menimbulkan kekeliruan dikalangan generasi muda.

Jika kita tidak mengambil langkah drastik untuk membendung krisis ini dari akar umbi, maka adakah kita mampu mengawal bahan bacaan generasi Islam akan datang? Mereka akan terus terdedah kepada bahan bacaan yang bakal merosakkan pandangan serta pegangan Islam mereka. Perbezaan antara agama Kristian dan agama Islam yang sememangnya ketara, akan menjadi kabur. Lalu, mereka akan mengambil enteng, masalah-masalah yang berkaitan degan perbezaan antara agama Kristian dan agama Islam seperti isu menutup aurat serta pergaulan. Cukuplah naskah-naskah daiyah Kristian (karikatur terjemahan Bahasa Melayu) yang diedarkan kepada anak-anak Islam, yang menggunakan perkataan 'Nabi Isa', sekaligus memberikan impresi yang salah kepada mereka.

Sebelum ini, kerajaan tidak membenarkan naskah Bibel versi Melayu dikeluarkan dan diedarkan secara meluas. Mengapa? Adakah kerana kita mempunyai tanggapan yang salah mengenai peruntukan kebebasan beragama di dalam perlembagaan? Tidak sama sekali. Ia adalah kerana, melalui tindakan sedemikian, dalam diam-diam, hak agama kita pula yang telah dicabuli.

2. Mereka akan membuat tuntutan lain pula di masa akan datang.

Jika matlamat penggunaan kalimah 'Allah' dalam majalah Herald adalah untuk membolehkan diseminasi ajaran serta ideologi Kristian, maka sudah tentu mereka tidak akan berhenti di sini. Jika tiada yang mampu memperjuangkan kesucian agama ini, mungkinkah Malaysia akan menjadi seperti Indonesia di mana 'Panca Sila' memastikan kesamarataan semua agama? Konsep kebebasan beragama adalah tidak sama dengan konsep kesamarataan agama. Telahpun dijelaskan secara terperinci di dalam perlembagaan, bahawa agama Islam adalah agama rasmi Malaysia.
Jika kita boleh bersepakat mengiktiraf perlembagaan Malaysia, maka bagaimana pula perlembagaan yang sama boleh digunakan oleh segelintir anggota masyarakat yang mempunyai agenda tersendiri untuk merampas hak anggota masyarakat yang lain.

3. Permintaan ini jelas bertentangan dengan pegangan umat Islam.

Di dalam kitab suci Al-Quran, jelas tertulis 'Dialah Allah yang Maha Esa'. Dalam konteks Bahasa Arab, bolehlah dikatakan bahawa sifat 'Maha Esa' atau 'Yang Satu' itu hanya boleh dikaitkan dengan kalimah suci Allah dan kalimah suci Allah itu hanya boleh dikaitkan dengan sifat 'Maha Esa' atau 'Yang Satu'. Adakah sama penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan di Indonesia? Jika 'memberi' kepada penganut Kristian bererti 'mengambil' dari umat Islam, adakah wajar aspirasi ini diperjuangkan? Adakah kita sanggup mengenepikan keselamatan sosial? Adakah kita tidak mampu mencapai kata sepakat di atas semangat perpaduan, hormat antara satu sama lain dan kedaulatan undang-undang? Semestinya umat Islam Malaysia tidak akan penat memperjuangkan hak mereka yang telah dicabuli. Maka ini cumalah situasi Malaysia yang 'unik' yang perlu diterima oleh penganut Kristian di Malaysia. Sesungguhya, bukan semua 'keunikan' bersesuaian dengan kehendak individu.

1 comment:

atong said...

ur second opinion is unique,in the sense dat not many blogger out there(from what i read) not mention dis kind of future problem...thanks btw...


savvy?